Saya Jadi Ayah!

Sabtu, Oktober 17, 2015 Muhd Khairul Fakrullah 0 Comments


Bukan sahaja wanita, lelaki juga sebenarnya mempunyai perasaan teruja dan gembira saat diberitakan bakal menjadi seorang ayah. Teringat kali pertama apabila saya mengetahui kandungan isteri sudah 8 minggu, perasaan risau, gelisah, gembira dan teruja, semuanya bercampur baur apabila mengetahui akan menjadi seorang ayah. Alhamdulillah dengan izin Allah, penantiaan kami untuk dikurniakan zuriat dimakbulkan Allah.



Teringat lagi, isteri saya semasa hamil emosinya mudah sahaja tersentuh. Pantang silap cakap, tentu sekali merajuk dan berair matanya. Itu tak termasuk lagi dengan loya, muntah-muntah, pening dan lain-lain. Macam-macam karenahlah. Itu tak termasuk lagi mengidam. Tapi syukur sepanjang mengandung takde pula dia mengidam yang pelik-pelik.

Untuk kali ini, saya akan berkongsi dahulu tips peranan seorang suami semasa isteri hamil. Sebagai seorang suami, kita harus faham bahawa bukan mudah bagi seorang isteri hamil dan tetap harus bekerja. Ibu mengandung sangat memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang kuat. Jadi, sebagai seorang suami, saya harus membantu isteri saya yang tersayang.

  1.  Menghiburkan hatinya : Sudah diketahui wanita yang mengandung cenderung lebih sensitif dan mudah tersinggung, Suasana yang mudah berubah bila-bila sahaja tanpa mengenal waktu dan tempat. Ini membuatkan suami harus lebih ekstra sabar dan memahaminya. Jadi sepanjang tempoh kehamilan, saya banyak bergurau senda dengannya, mengusiknya, buat lawak bodoh. Gelak tawa isteri ternyata melegakan saya. Hehe.
  2. Mengawal pemakanannyaSaya menjadi seorang penasihat pemakanan yang tak dilantik. Saya membelinya banyak makanan sunnah supaya kandungan mendapat bekalan makanan yang berkhasiat. Sebagai contoh, saya membelikan susu kambing asli. Seperti yang kita sedia maklum,  minum susu kambing bagi wanita mengandung dapat memberi tenaga dan menyegarkan tubuh, mengelak bayi dari terkena demam kuning dan macam-macam lagi.
  3. Memahami isteri: Keadaan isteri sewaktu hamil berbeza jadi hargailah dan berikanlah pujian kepadanya atas segala pemberian dan perbuatan isteri.  Saya juga membantunya dalam membuat kerja-kerja rumah. Sedikit sebanyak dapat meringankan tugasnya. Sebagai seorang suami, saya juga menjadi pendengar yang setia dan cuba fahami keadaan dan masalah isteri dengan mengambil berat tentang perasaan dan kesihatannya. Berilah semangat dan perangsang kepada si isteri dalam melakukan sesuatu agar beliau bertambah semangat. Tenangkan hatinya selalu jika dia mengalami kesusahan atau kesulitan.
  4. Melakukan amalan kerohaniaan bersama-samaSemua ibu bapa ingin anak yang dilahirkan menjadi anak yang soleh atau solehah bukan? Seperti yang kita sedia maklum, setelah kandungan berusia 120 hari, roh akan ditiupkan. Jadi, sebagai bakal ibu bapa, kita hendaklah berusaha untuk membentuk sifat-sifat baik ini sejak anak dalam kandungan seperti banyak melakukan ibadat sunat, membaca Al – Quran dan berzikir.
Sedarkah anda, pada saat ini anda sebenarnya sedang melangkah satu lagi tahap dalam kehidupan iaitu alam keibubapaan. Tetapi bersediakah anda untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ayah? Sebagai seorang suami yang bertanggungjawab, rasanya tentu anda tidak sanggup membiarkan segala urusan anak dilakukan oleh isteri tercinta semata-mata. 

0 ulasan: